KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan memulakan prosiding tatatertib terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan tindakan yang dianggap bertentangan dengan kepentingan gabungan itu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam ini, selaras dengan Fasal 15 perlembagaan gabungan berkenaan.
Beliau berkata, fasal tersebut memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi PN untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana parti komponen, ahli individu, parti gabungan, atau ahli bersekutu yang didapati bertindak bertentangan dengan kepentingan gabungan itu.
“Majlis Tertinggi PN mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana parti komponen, ahli individu, parti gabungan, atau ahli bersekutu, sama ada melalui pemberian amaran, penggantungan, atau penyingkiran parti atau ahli berkenaan, sekiranya mereka terlibat dalam perlakuan yang bertentangan dengan kepentingan PN.
“PN akan mengambil langkah sewajarnya di bawah prosiding tatatertib dan mengemukakan pertuduhan secara rasmi kepada parti komponen berkenaan, iaitu Bersatu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.
Takiyuddin berkata, Bersatu akan diberikan masa yang mencukupi untuk menjawab pertuduhan tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.