KUALA KANGSAR (Bernama): Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan para pembesar, pemegang jawatan, dan pemimpin agar menjunjung tinggi integriti, menjauhkan kepentingan diri, serta memastikan rintihan rakyat sampai kepada pengetahuan pemerintah supaya keadilan sentiasa terpelihara.
Baginda bertitah para pembesar dan pemegang jawatan wajib memahami bahawa kedudukan yang dikurniakan menuntut keluhuran budi dan keikhlasan berkhidmat.
“Para pembesar yang mendampingi takhta, wajib menjunjung integriti, menyembahkan nasihat yang benar betapa pahit sekalipun, dan memastikan suara dan rintihan rakyat sampai kepada pengetahuan Raja, agar Raja Pemerintah tidak leka diulit mimpi indah, tetapi palsu,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-70, di sini hari ini.
Sultan Nazrin turut bertitah warisan adat dan alat kebesaran diraja tidak sekadar diraikan sebagai perayaan atau dikagumi sebagai ornamen hiasan, sebaliknya nilai dan rohnya perlu dihayati serta diterjemahkan dalam urusan pemerintahan dan kehidupan rakyat.
Baginda bertitah dua alat kebesaran utama Kesultanan Perak yang diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka sejak penubuhan kesultanan di Tanah Abang pada 1528, iaitu Pedang Cura Si Manja Kini dan Keris Taming Sari ialah pusaka kebesaran diraja yang membawa pengertian mendalam dalam kehidupan negeri beraja – rakyat bersultan.
“Kedua-duanya menghubungkan sejarah dengan masa hadapan, mengingatkan kita akan kesinambungan institusi kesultanan serta tanggungjawab memelihara kedaulatan negeri.
“Kedua-duanya memiliki sejarah, membawa makna, serta menyimpan ingatan tentang perjalanan bangsa membina tamadun, mempertahankan kedaulatan dan memelihara maruah, terhimpun warisan bangsa yang mengajak kita mengenali sejarah, memahami kedaulatan serta menginsafi tanggungjawab,” titah baginda.
Sutan Nazrin seterusnya mengaitkan relevansi pusaka lama tersebut dalam era kepesatan teknologi digital dan kecerdasan buatan masa ini, bahawa semakin pantas sesebuah masyarakat melangkah ke hadapan, semakin penting untuk mereka mengenali akar sejarah dan asas jati diri.
Titah baginda, kemajuan memerlukan pedoman agar pembangunan membawa kesejahteraan, sementara perubahan pula tidak melunturkan nilai kemanusiaan.
Manurut baginda, roh Pedang Cura Si Manja Kini wajar diperhalus sebagai peringatan tentang beratnya amanah, menginsafkan penyandang takhta bahawa keistimewaan yang diwarisi, dikembari dengan tanggungjawab yang wajib disempurnakan.
“Kuasa wajib disempurnakan secara adil, pertimbangan wajib berpandukan hikmah, dan keputusan wajib menimbangkan kesejahteraan rakyat, ketajaman bilah mengingatkan kita supaya tajam membezakan kebenaran daripada kepalsuan.
“Keteguhan genggaman mengingatkan kita supaya teguh memegang amanah; sarungnya yang memelihara bilah, mengajak kita memahami pentingnya adab dan kawalan diri ketika memiliki kuasa dan kekuatan.
“Dalam pemerintahan moden, amanah pemerintahan menuntut penghormatan terhadap Perlembagaan, keluhuran undang-undang, keadilan pentadbiran dan perlindungan terhadap kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Titah Sultan Nazrin, semangat Keris Taming Sari boleh diterjemahkan sebagai keberanian mempertahankan maruah, keberanian menegakkan keadilan, keberanian menyuarakan kebenaran, keberanian menolak rasuah dan keberanian membela mereka yang teraniaya.
Tegas baginda, keberanian turut bererti kesediaan menerima teguran, mengakui kelemahan serta melakukan pembaharuan demi kepentingan rakyat.
“Pedang Cura Si Manja Kini dan Keris Taming Sari hendaklah terus dijadikan peringatan bahawa takhta dimuliakan dengan keadilan, kehormatan jawatan terletak pada amanah, kesetiaan diperkukuh dengan kepercayaan, kekuatan negeri berakar pada kepercayaan rakyat, dan negeri disejahterakan melalui muafakat raja dengan rakyat.
“Warisi pusaka, hayati rohnya dan hidupkan semangatnya. Sesungguhnya, relevansi pusaka bangsa bergantung pada keupayaan dan kesungguhan kita menghidupkan pengajarannya.
“Pedang dan keris diwarisi sebagai alat kebesaran, sementara keberanian, keadilan dan amanah dihidupkan sebagai pedoman membina masa hadapan negeri beraja – rakyat bersultan,” titah baginda.