Nasional

Polis beri amaran supaya orang ramai elakkan Pantai Bagan Lalang susulan penemuan buaya.

PUTRAJAYA: Pengunjung dan pelancong dinasihatkan supaya menjauhi Pantai Bagan Lalang susulan laporan mengenai penemuan seekor buaya berhampiran kawasan pantai yang popular itu.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman, berkata pihak polis menerima laporan daripada orang awam lewat petang semalam mengenai seekor haiwan yang disyaki buaya di kawasan berhampiran pantai tersebut.

Beliau berkata, haiwan itu dilaporkan berada berhampiran sebuah resort di Sungai Pelek.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti di sepanjang pesisir Pantai Bagan Lalang, Sungai Pelek, demi keselamatan penduduk tempatan dan pelancong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norhizam berkata, pihak polis akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi menangani situasi tersebut serta mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menjamin keselamatan orang ramai.