Nasional

Raja Permaisuri Agong berangkat sempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-70 UTM

SKUDAI: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70, hari ini (14 November).

Turut berangkat, YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang juga Pro-Canselor UTM.
Pada majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda yang juga Canselor UTM berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Alam Sekitar kepada Academician Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor, mantan Pro Canselor UTM.
Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan penganugerahan gelaran Profesor Emerita dan Profesor Emeritus kepada Academician Datuk Dr. Halimaton Hamdan dan Dr. Azlan Abd Rahman.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan penganugerahan Ijazah Dr. Falsafah dan Hadiah Akademik yang didahului Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (Doktor Pentadbiran Perniagaan).
Seri Paduka Baginda bertitah “Berakhirnya pengajian bukanlah titik noktah kepada usaha menuntut ilmu. Ilmu akan terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan cabaran baharu yang akan sentiasa muncul.”
“Saya berharap agar para graduan dapat melangkah ke alam baharu dengan penuh keyakinan sebagai graduan yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan dan kepakaran yang tinggi, malah turut menghayati nilai jati diri yang kukuh serta menjunjung tinggi adab dan akhlak mulia.” titah Seri Paduka Baginda.
Majlis Konvokesyen pada tahun ini menyaksikan seramai 7,369 graduan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing iaitu PhD (680), Sarjana (1,614), Sarjana Muda (4,228), Diploma (778) dan Diploma Eksekutif (69).