Nasional

Rumah panjang dekat Matop di Paku, Spaoh terbakar

Sebuah rumah panjang dekat Matop, Paku, Spaoh, Betong terbakar . Foto FB Sarawak Update
BETONG: Sebuah rumah panjang dekat Matop, Paku, Spaoh, terbakar dalam kejadian petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.14 petang, hari ini.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi kejadian sebelum tiba pada jam 5.32 petang.
Katanya, lokasi kejadian terletak kira-kira 18 kilometer dari balai berkenaan.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi mengesahkan kebakaran membabitkan sebuah rumah panjang berstruktur tidak kekal.
“Pasukan bomba kemudian bertindak menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran daripada merebak,” katanya.
Operasi berkenaan turut mendapat bantuan anggota dari BBP Saratok.
Seramai 15 anggota bomba terbabit dalam operasi itu dengan sokongan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (Hilux).
Setakat ini, maklumat lanjut mengenai jumlah rumah atau bilik yang terjejas, punca kebakaran serta kerugian masih belum diperoleh.
Operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.