SHAH ALAM: Seorang wanita berusia lingkungan 50-an ditemui mati, dipercayai akibat dicekik, di sebuah rumah di Banting, Kuala Langat, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi, berkata pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 1 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dicekik, iaitu dengan memberikan tekanan pada bahagian lehernya.
“Susulan itu, polis telah menahan anak lelaki wanita berkenaan yang berusia lingkungan 20-an, kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 atau hadir ke balai polis berhampiran.