Nasional

Tiada ancaman bom: Lelaki ditahan selepas beg pakaian mencurigakan berhampiran KLCC, cetuskan kekecohan, jalan ditutup

Kecoh soal ancaman bom ekoran penemuan sebuah beg pakaian yang mencurigakan di sebuah perhentian bas berhampiran pusat beli-belah Suria KLCC di Jalan Ampang, malam tadi

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan sebuah beg pakaian yang mencurigakan di sebuah perhentian bas berhampiran pusat beli-belah Suria KLCC di Jalan Ampang, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin, berkata pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan objek tersebut pada pukul 7.17 malam.

Beliau berkata, susulan itu, satu pasukan yang terdiri daripada anggota Unit Pemusnah Bom, Unit K9, dan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan serta mengawal kawasan tersebut.

“Pemeriksaan mengesahkan tiada ancaman bom di dalam beg pakaian berkenaan, dan suspek telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beberapa hantaran mengenai situasi di luar pusat beli-belah tersebut tular di media sosial, termasuk aplikasi Threads, yang memaparkan kehadiran anggota serta kenderaan polis.

Hantaran-hantaran itu turut menunjukkan kesesakan lalu lintas dan penutupan jalan di pintu masuk utama bangunan tersebut, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Sehubungan itu, Ahmad Azwan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222, atau mana-mana balai polis berhampiran.