Nasional

Video tular papar lelaki bersenjata merupakan polis kejar suspek dalam Op Tapis

KUALA LUMPUR: Imej seorang Lelaki memegang objek menyerupai pistol yang dilihat mengejar sebuah kereta di Jalan Sultan Salahuddin dalam  video tular, dipercayai anggota polis yang menjalankan Op Tapis Khas, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin, berkata kejadian pukul 6.30 petang ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengesan sebuah Honda Accord hitam dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika polis menghampiri kenderaan itu untuk pemeriksaan, pemandunya memecut secara melulu dan melanggar sebuah Honda City biru bagi meloloskan diri.

“Pada jam 6.40 petang, polis dapat mengesan semula kereta berkenaan di persimpangan Jalan Sultan Salahuddin sebelum mengejarnya,” katanya dalam kenyataan, seperti yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Beliau berkata, dua lelaki kemudian keluar dari Honda Accord itu sebelum melarikan diri.

“Pemeriksaan awal terhadap kereta terbabit tidak menemukan sebarang barang yang menyalahi undang-undang.

“Polis kini mengesan kedua-dua lelaki berkenaan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, rakaman berdurasi satu minit 13 saat yang dimuat naik di Threads memperlihatkan suasana di sebuah persimpangan jalan ketika lampu isyarat merah.

Video itu memaparkan seorang lelaki memegang objek menyerupai pistol sambil mengejar sebuah kereta di persimpangan jalan berkenaan.

Kejadian itu menarik perhatian pengguna media sosial dan menimbulkan persoalan mengenai tindakan lelaki terbabit.

Polis mengesan video tular itu semalam lalu dan mengesahkan kejadian berlaku sehari sebelumnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.