JOHOR BAHRU: Dua individu maut akibat terbakar manakala dua lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar susulan satu kemalangan berhampiran Kelab Golf Permas Jaya, di jalan menghala ke Bakar Batu, awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Razali Hussein, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 4.35 pagi.
Beliau berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati sebuah kereta jenis Mercedes — yang dipercayai tergelincir dan terbalik di bahu jalan — telah terbakar kira-kira 90 peratus.
“Terdapat lima orang di dalam kereta tersebut. Dua daripada mereka ditemui rentung di dalam kenderaan itu, manakala tiga lagi berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, daripada tiga individu yang berjaya keluar dari kenderaan yang terbakar itu, dua daripadanya mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan, sementara seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.