KUALA LUMPUR: Kira-kira 3.28 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama di seluruh negara setiap hari sepanjang tempoh puncak perjalanan sempena sambutan Deepavali pada Ahad ini.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir Mohd Hadzmir Yusoff, berkata jumlah trafik dijangka meningkat mulai hari ini memandangkan pengguna jalan raya mula bergerak menuju ke Pantai Timur serta bahagian utara dan selatan negara.
Beliau berkata, rangkaian lebuh raya PLUS diunjurkan mencatatkan 2.24 juta kenderaan, diikuti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dengan 288,000 kenderaan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dengan 190,000 kenderaan.
Lebuhraya Pantai Barat (WCE) pula dijangka mencatatkan 168,000 kenderaan, manakala Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) masing-masing diunjurkan menerima 135,000 kenderaan.
“Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) diunjurkan mencatatkan 83,000 kenderaan, manakala Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dijangka menerima 44,000 kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Hadzmir berkata LLM menyambut baik inisiatif kerajaan untuk menawarkan diskaun tol sebanyak kira-kira 50 peratus bagi kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) selama dua hari, bermula pukul 12.01 tengah malam esok sehingga 11.59 malam Sabtu (7 Nov).
Diskaun tersebut terpakai di semua lebuh raya di seluruh negara, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Bagi memastikan kelancaran trafik, Mohd Hadzmir berkata syarikat konsesi lebuh raya telah diarahkan untuk menghentikan sementara semua kerja penyelenggaraan yang memerlukan penutupan lorong dari 6 hingga 10 Nov, kecuali dalam keadaan kecemasan. “Syarikat konsesi lebuh raya juga telah diarahkan untuk menyediakan kemudahan tambahan, termasuk ruang parkir dan tandas mudah alih, di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) utama, serta memastikan kebersihan dan bekalan air serta bahan api yang mencukupi demi keselesaan pengguna lebuh raya,” katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyatakan bahawa trafik dijangka meningkat mulai hari ini memandangkan pengguna jalan raya mula bergerak pulang ke kampung halaman atau menuju ke destinasi percutian.
“Trafik menghala ke Lembah Klang dijangka meningkat pada 9 dan 10 November apabila pengguna lebuh raya kembali daripada perjalanan sempena sambutan Deepavali dan cuti sekolah,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, PLUS menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan merujuk kepada Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (MyPLUS-TTA) bagi menentukan masa terbaik untuk memulakan perjalanan.
PLUS memaklumkan bahawa pihaknya telah mengaktifkan ‘Smart Lane’ (Lorong Pintar) di 32 lokasi terpilih, yang membolehkan pengguna jalan raya menggunakan lorong kecemasan yang ditetapkan secara sementara bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Bagi melancarkan aliran trafik di plaza tol, pengguna digalakkan menggunakan JustGO—sistem pembayaran tol berasaskan pengecaman nombor plat kenderaan automatik (ANPR) yang pertama di Malaysia. Sistem ini tersedia di semua plaza tol PLUS, kecuali Plaza Tol BSI dan plaza tol di lebuh raya LPT2.
Bagi pengguna yang menuju ke Pantai Timur, AFA Prime Berhad (AFA Prime)—syarikat konsesi bagi lebuh raya KLK dan LPT1—telah mengaktifkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk mengurangkan kesesakan di titik masuk utama, khususnya di Plaza Tol Gombak, Bentong, dan Jabor.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif AFA Prime Berhad, Ahmad Faizi Latifi Ahmad Faiz, menggalakkan pengguna lebuh raya untuk bergerak pada waktu bukan puncak—iaitu antara tengah malam hingga 6 pagi pada kedua-dua hari tersebut—bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini melalui akaun X rasmi PLUS (@plustrafik) dan LLM (@llminfotrafik), atau menghubungi talian bebas tol PLUSLine di 1-800-88-0000 untuk bantuan kecemasan. Imej trafik masa nyata juga boleh diakses melalui laman web LLM di https://www.llm.gov.my.