Sukan

Gol Kane bantu England mara ke suku akhir Liga Negara-Negara

PARIS: England mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara (Nations League) selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Croatia semalam, manakala Zinedine Zidane mengalami kekalahan pertama sebagai jurulatih Perancis apabila pasukannya tewas di tempat lawan kepada Itali.

Harry Kane meraikan penampilan ke-126 yang memecahkan rekod bersama England dengan menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti di Wembley, sekali gus menjadikan jumlah gol antarabangsanya kepada 92 gol.

Morgan Rogers meletakkan England di hadapan pada separuh masa pertama, sebelum kesilapan Jarell Quansah membolehkan Petar Sucic menyamakan kedudukan buat Croatia pada minit ke-60.

England kembali mendahului selepas Ivan Smolcic menjatuhkan Quansah dalam situasi sepakan sudut, dan Kane menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan susulan semakan VAR.

Anak buah Thomas Tuchel kini mengumpul 12 mata daripada lima perlawanan dalam Kumpulan A3, sekali gus memastikan kemaraan mereka ke suku akhir pada Mac depan.

“Kemenangan yang baik. Kami sangat mahukan kemenangan ini dan saya rasa kami layak mendapatkannya,” kata Tuchel kepada ITV.

“Kami berjaya melaksanakan tugas tersebut, dan ia penting kerana ia merupakan satu peristiwa istimewa buat Harry yang turut menjaringkan gol kemenangan — satu malam yang sempurna.”

Sepanyol mendahului kumpulan itu dengan 15 mata selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Republik Czech di Prague, yang merupakan kemenangan kelima berturut-turut mereka dalam kejohanan tersebut.