Nasional

PM: Malaysia, Laos akan perkukuh kerjasama dua hala merentasi sektor-sektor utama

Perdana Menteri sewaktu pertemuan dengan rakan sejawat dari Laos, Saleumxay Kommasith, di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, di Manila hari ini.

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Laos telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala, khususnya dalam bidang tenaga boleh baharu, infrastruktur, pengangkutan, dan logistik, bersempena dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan semasa pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya dari Laos, Saleumxay Kommasith, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 yang sedang berlangsung di Manila, Filipina.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menyatakan bahawa selain mengucapkan tahniah kepada Saleumxay atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Laos bulan lalu, pertemuan itu turut menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

Menyentuh mengenai perdagangan dua hala, Perdana Menteri memaklumkan bahawa jumlah perdagangan antara Malaysia dan Laos bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun lepas telah meningkat sebanyak 28.7 peratus kepada US$55.9 juta (RM229 juta).

Beliau berkata kedua-dua negara juga bersetuju untuk mempergiatkan kerjasama melalui penganjuran Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) kali ke-4 di Vientiane pada tahun 2027, di samping memuktamadkan perkongsian dalam sektor pendidikan tinggi dan pelancongan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan sedang berlangsung dari 15 hingga 17 November di bawah pengerusian Filipina.