Nasional

Anak perempuan MB Kedah cedera, motosikal tergelincir ke dalam longkang

auto_awesome Translate from: Malay 131 Anak perempuan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor cedera dalam kemalangan motosikal berhampiran Kampung Alor Setol.

ALOR SETAR: Anak perempuan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengalami kecederaan dalam satu kemalangan berhampiran Kampung Alor Setol di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali, berkata mangsa berusia 20 tahun yang merupakan penuntut di Kolej Islam Darul Ulum di Pokok Sena itu, mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tangan kiri, serta disyaki mengalami patah pergelangan tangan kanan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha X-Max 250 dari arah kolejnya di Pokok Sena menghala ke Alor Setar.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan terhadap motosikalnya, menyebabkan kenderaan itu tergelincir lalu terjunam ke dalam parit,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, orang awam dan petugas perubatan telah memberikan bantuan kepada mangsa sebelum beliau dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut. Keadaan mangsa dilaporkan stabil.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.