CHUKAI: Seekor buaya dikesan berhampiran jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di muara Sungai Kemaman, Kemaman sejak semalam, menyebabkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mempertingkatkan pemantauan di kawasan tersebut.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten Choon Yung, berkata pihak jabatan telah menjalankan pemantauan berkala di jeti berkenaan susulan laporan mengenai kehadiran reptilia itu.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 4.40 petang semalam berhubung satu video tular di media sosial yang memaparkan buaya tersebut berkeliaran berhampiran jeti itu.
“Susulan laporan tersebut, empat pegawai daripada pejabat Perhilitan Daerah Kemaman telah dikerahkan ke lokasi pada pukul 8 malam untuk menjalankan siasatan.
“Walau bagaimanapun, tiada buaya ditemui semasa pemeriksaan dijalankan. Berdasarkan maklumat daripada anggota APMM, reptilia itu dipercayai dilihat semula di kawasan tersebut pada pukul 4 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dennis berkata, pihak jabatan akan terus memantau kawasan berkenaan bagi mengesan kehadiran buaya tersebut serta memastikan keselamatan orang awam terjamin.