PUTRAJAYA (Bernama): Persiapan bagi kemasukan murid tahun satu berusia enam tahun pada sesi persekolahan 2027 di seluruh negara berjalan dengan lancar, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Mohd Azam Ahmad.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia melaksanakan dan telah menerima lebih 73,000 permohonan bagi kemasukan mereka.
“Kita (KPM) telah bersedia dari tahun lepas lagi. Kita telah buka pendaftaran dan buat masa sekarang, lebih kurang 73,000 yang memohon umur enam tahun nak masuk tahun satu,” katanya.
Mohd Azam berkata berdasarkan data pendaftaran, KPM telah mengenal pasti negeri, daerah dan kawasan yang mencatatkan permohonan tertinggi bagi membolehkan keperluan bilik darjah tambahan serta kapasiti sekolah dinilai lebih awal.
“Misal kata dia (murid tahun satu enam tahun) perlu sokongan dari segi emosi, abang atau kakaknya (ada untuk membantu),” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata sebahagian besar projek infrastruktur bagi menyokong kemasukan murid tahun satu berusia enam tahun pada sesi persekolahan 2027 disiapkan lebih awal dari dijadual.
Beliau dilaporkan berkata KPM giat membuat persiapan bagi Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan dilaksanakan dengan melibatkan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu.
Persediaan bagi kemasukan awal murid tahun satu turut dilaksanakan di semua peringkat, selaras dengan usaha reformasi pendidikan negara berpandukan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.