Politik

PN kembalikan kerusi DUN Kota Laksamana kepada MCA

MELAKA, 30 Okt — MCA mengumumkan akan bertanding satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, susulan penyerahan semula kerusi Kota Laksamana kepada Barisan Nasional (BN) oleh Perikatan Nasional (PN).

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata Melvin Chua akan diletakkan sebagai calon, berikutan perbincangan antara BN dan PN setelah pihak PN menyatakan bahawa MCA lebih sesuai untuk bertanding di kerusi tersebut.

“Keputusan ini hanya dibuat dan dipersetujui hari ini oleh kepimpinan tertinggi parti, susulan keputusan untuk menyerahkan semula kerusi tersebut kepada calon MCA yang mewakili BN bagi kawasan DUN Kota Laksamana, setelah mengambil kira kesesuaian beliau berdasarkan penglibatan dan khidmat baktinya di kawasan itu,” katanya pada sidang media semasa lawatan ke bilik gerakan MCA Bandar Hilir di Melaka Raya, di sini hari ini.

Wee berkata, Melvin merupakan figura yang dikenali dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya melalui penglibatan beliau dalam aktiviti kemasyarakatan serta khidmat baktinya di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Penambahan kerusi Kota Laksamana ini bermakna MCA akan bertanding di empat kerusi, termasuk Machap Jaya, Kelebang, dan Bandar Hilir.

Wee menyatakan bahawa perkembangan terbaharu ini tidak akan menjejaskan persiapan MCA, walaupun keputusan tersebut dibuat pada saat-saat akhir, memandangkan parti itu telah lama bersiap sedia, terutamanya di kawasan-kawasan tradisi yang ditandinginya.

Beliau berkata MCA, sebagai parti komponen BN, bersedia menghadapi sebarang cabaran dan tidak mempunyai masalah untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi yang perlu ditandinginya.

“Kami tidak pernah mengelak daripada tanggungjawab kami. Kami tiada masalah untuk bertanding di mana-mana kerusi dan kami bersedia menghadapi sebarang situasi.”