Nasional

Tapir betina mati kena langgar di jalan raya Dungun

KUALA LUMPUR: Seekor tapir betina dewasa seberat kira-kira 200kg mati selepas dipercayai dilanggar kenderaan di jalan Dungun-Bukit Besi, berhampiran Kampung Serdang di Dungun, malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 8.30 malam, lapor Bernama.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala serta beberapa kesan calar pada badan tapir tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 100 meter dari Hutan Simpan Bukit Bauk, lokasi di mana papan tanda amaran mengenai lintasan hidupan liar telah dipasang untuk perhatian pengguna jalan raya.