KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, mereka tidak pernah mempertikaikan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke atas belas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
AGC dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, sebaliknya mereka mahu memastikan pelaksanaannya selaras dengan undang-undang.
Disebabkan itu, AGC berpandangan persoalan berhubung status hukuman penjara Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International perlu dirujuk segera kepada mahkamah bagi mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas.
Menurut kenyataan AGC itu, penjelasan undang-undang diperlukan susulan pembayaran denda RM50 juta oleh bekas Perdana Menteri itu pada 6 November 2026, selain pengeluaran Perintah Pelepasan (Order of Discharge on Payment of Fine) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh sama.
Ini termasuk persoalan utama adalah sama ada perintah pelepasan itu hanya berkaitan pembayaran denda dan membolehkan baki hukuman penjara kes SRC diteruskan melalui tahanan di rumah, atau membawa kesan bahawa hukuman berkenaan telah selesai dari segi undang-undang.
“Persoalan berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026 wajar dirujuk dengan segera kepada mahkamah untuk mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas,” demikian menurut kenyataan itu.
AGC menjelaskan, perkara tersebut mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditetapkan bermula selepas hukuman kes SRC International selesai dijalani.
Malah, AGC berpandangan sekiranya hukuman SRC masih berkuat kuasa, baki hukuman berkenaan perlu dilaksanakan selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Bagaimanapun, jika hukuman itu telah selesai dari segi undang-undang, kesannya terhadap tarikh permulaan hukuman dalam kes 1MDB perlu ditentukan oleh Mahkamah.
AGC turut menegaskan penentuan segera itu penting bagi memelihara hak Najib sendiri, memandangkan penerusan tahanan sekiranya hukuman SRC telah selesai boleh menyebabkan beliau menjalani tahanan melebihi tempoh yang sepatutnya.
“Langkah ini bukan bertujuan melengahkan atau menggagalkan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat, sebaliknya untuk mengelakkan percanggahan dalam pelaksanaan perintah-perintah yang berkuat kuasa serta memastikan bahawa tiada hukuman dilaksanakan secara tidak sah,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Istana Negara dalam satu kenyataan menegaskan sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.