Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) meminta kerajaan mengambil alih kawalan ke atas mekanisme kutipan dan pengagihan royalti muzik bagi menangani pelbagai isu yang membelenggu industri itu selama lebih dua dekad.
Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez dalam kenyataan hari ini, berkata resolusi itu adalah antara yang diluluskan sebulat suara pada Mesyuarat Agung Tahunan persatuan berkenaan.
Cadangan itu mengambil contoh model Indonesia yang menubuhkan Lembaga Manajemen Kolektif Nasional (LMKN) untuk mengurus kutipan royalti persembahan awam secara berpusat.
“Indonesia menghadapi isu-isu serupa sehinggalah kerajaan menyelesaikannya dengan mengambil alih semua kutipan royalti daripada badan-badan pengumpul sedia ada,” katanya.
Menurut Freddie, dengan kutipan royalti persembahan awam mencecah hampir RM200 juta setahun, sudah tiba masanya Malaysia memperbaharui sistem kutipan dan pengagihan royalti supaya lebih adil, telus dan bertanggungjawab.
Katanya, industri muzik sejak sekian lama berdepan pelbagai aduan berkaitan ketelusan pengurusan royalti, kos pentadbiran yang tinggi, struktur kutipan berpecah-belah serta pertikaian antara organisasi pengurusan kolektif dan juga kalangan pemain industri mengenai agihan royalti.

