CANBERRA: (Xinhua) — Polis di Adelaide, ibu negeri Australia Selatan, telah menembak mati seorang wanita yang bersenjatakan kapak, yang didakwa mengancam anggota polis pada awal pagi Khamis.
Pasukan polis negeri itu menyatakan bahawa anggota polis telah dikerahkan susulan laporan mengenai seorang wanita yang bersenjatakan kapak di sebuah premis di kawasan pinggir bandar timur Adelaide, sejurus sebelum pukul 2 pagi waktu tempatan.
Apabila tiba di lokasi kejadian, wanita tersebut didakwa telah mengancam anggota polis.
Anggota polis kemudiannya menggunakan alat renjatan elektrik (taser), namun ia tidak berkesan, lalu mereka melepaskan tembakan terhadap wanita itu.
Anggota polis memberikan bantuan kecemasan awal sehingga paramedik ambulans tiba, namun wanita tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang anggota polis mengalami kecederaan ringan.
Detektif daripada cawangan jenayah berat serta unit siasatan dalaman telah memulakan siasatan berhubung insiden tersebut.