BAITULMAQDIS (Xinhua): Dua orang rakyat Palestin melepaskan tembakan ke arah warga Israel di Tebing Barat yang diduduki pada hari Jumaat, menyebabkan lima orang cedera—dua daripadanya dalam keadaan kritikal—sebelum tentera Israel menembak mati penyerang tersebut, menurut pihak berkuasa Israel.
Tentera Israel menyatakan bahawa kedua-dua rakyat Palestin itu tiba dengan menaiki kereta di satu persimpangan berhampiran penempatan Kiryat Arba, dekat bandar Hebron, lalu melepaskan tembakan sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian, yang mencetuskan operasi memburu suspek.
Kedua-dua rakyat Palestin itu terkorban dalam kejadian berbalas tembakan dengan tentera, dan kawasan tersebut telah ditutup sementara pencarian terhadap kemungkinan suspek lain dijalankan, tambah kenyataan itu.
Insiden tembakan ini berlaku di tengah-tengah peningkatan keganasan di Tebing Barat, di mana serbuan tentera Israel serta serangan oleh peneroka haram telah mengakibatkan kematian dan kecederaan dalam kalangan rakyat Palestin, selain menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), pasukan keselamatan dan peneroka haram Israel telah membunuh lima rakyat Palestin dan mencederakan lebih 240 orang pada bulan Oktober tahun ini. Selain itu, sebanyak 2,060 serangan oleh peneroka haram telah dilaporkan sejak awal tahun 2026, yang mengakibatkan kecederaan kepada rakyat Palestin atau kerosakan harta benda.