Kerajaan akan bantu lebih banyak PMKS

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha membantu lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) meningkatkan skala, produktiviti dan akses pasaran selepas sektor itu berkembang lebih pantas daripada keseluruhan ekonomi negara pada tahun 2025. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, berdasarkan statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), KDNK PMKS…

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha membantu lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) meningkatkan skala, produktiviti dan akses pasaran selepas sektor itu berkembang lebih pantas daripada keseluruhan ekonomi negara pada tahun 2025.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, berdasarkan statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), KDNK PMKS berkembang sebanyak 5.7% kepada hampir RM690 bilion, mengatasi pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2%.

Sumbangan PMKS kepada KDNK negara turut meningkat daripada 39.5% (2024) kepada 39.7%. Pada tahun 2025, hampir 1.3 juta PMKS merangkumi 96% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, meningkat hampir 20% berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Steven berkata, melebihi 77% daripada PMKS masih merupakan perusahaan mikro, manakala hanya 1.1% berada dalam kategori sederhana.

“Cabaran sebenar kita bukan sekadar melahirkan lebih banyak perniagaan, tetapi memastikan perniagaan Malaysia boleh menaik skala, perusahaan mikro naik menjadi kecil, perusahaan kecil berkembang menjadi sederhana dan lebih banyak syarikat tempatan mampu menembusi pasaran global.

“Pertumbuhan ini mesti diterjemahkan kepada syarikat yang lebih produktif, inovatif dan berdaya saing,” kata beliau pada Sidang Media Prestasi PMKS 2025 di SME Corp. Malaysia hari ini.

Dalam persekitaran perdagangan global yang mencabar pada tahun 2025, eksport PMKS mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.5% kepada RM214.5 bilion, mengatasi pertumbuhan keseluruhan eksport negara sebanyak 5.9% dan firma bukan PMKS sebanyak 5.1%.

Menurut Steven, prestasi eksport PMKS pada tahun 2025 turut membuktikan bahawa PMKS Malaysia mempunyai asas yang kukuh serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global.

“Pencapaian ini sekali lagi memberi isyarat kepada Kerajaan bahawa tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha menterjemahkan pertumbuhan tersebut kepada lebih banyak syarikat yang produktif, berskala lebih besar, inovatif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Bagi mempercepat agenda penskalaan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang melaksanakan inisiatif Power Up 10K, dengan sokongan pembiayaan berjumlah RM15 bilion untuk membantu PMKS memperkukuh produktiviti, aliran tunai dan kapasiti perniagaan, di samping memperluas pasaran domestik dan antarabangsa.

Inisiatif Power Up 10K juga selaras dengan kerangka strategik ABCD KUSKOP, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.

Usaha tersebut akan menyokong sasaran meningkatkan komposisi firma bersaiz sederhana kepada 5% menjelang tahun 2030.

Dalam majlis yang sama, Steven mengumumkan pelancaran Quick Guide on Utilising FTAs by SMEs oleh SME Corp. Malaysia bagi membantu PMKS memanfaatkan 17 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang telah dimeterai Malaysia.

Panduan itu menyediakan penerangan praktikal untuk membantu PMKS mengenal pasti FTA yang bersesuaian, menilai potensi pasaran, memahami Peraturan Asal serta memanfaatkan kemudahan tarif dan perdagangan.

“FTA bukan hanya untuk syarikat besar. PMKS juga boleh menikmati pengurangan tarif, akses pasaran yang lebih luas dan peluang menyertai rantaian bekalan antarabangsa,” tambah beliau.

SME Corp. Malaysia turut bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC) dan Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA) dalam Sidang Media hari ini.

Sha Hashim Avatar

About the author


Popular Categories