GUA MUSANG: Tiga ahli sebuah keluarga terbunuh manakala seorang lagi wanita cedera selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tangki di Jalan Kuala Krai-Gua Musang berhampiran Gua Sejuk di Kelantan awal pagi ini.
Mangsa yang meninggal dunia ialah seorang lelaki dewasa, seorang wanita dan seorang budak lelaki.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata ia menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 7.16 pagi.
Pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian kira-kira 36 minit kemudian dan mendapati semua mangsa terperangkap di dalam kenderaan.
Semua mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat khas.
Mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk prosedur bedah siasat, manakala mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan.

