KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penemuan tiga ahli keluarga yang ditemui tidak sedarkan diri di sebuah rumah di Bandar Baru Tambun di Ipoh pada malam Khamis.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah berkata polis menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira jam 9.10 malam, 30 Julai.
Beliau berkata pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati mangsa — seorang wanita tempatan berusia 46 tahun dan dua anak perempuannya berusia 12 dan 11 tahun — telah meninggal dunia di dalam sebuah bilik rumah tersebut.
Polis juga menemui sebuah bekas yang dipercayai mengandungi sisa-sisa arang bakar yang telah diletakkan di dalam bilik tersebut.
“Pemeriksaan awal oleh Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pakar perubatan forensik tidak menemui sebarang kecederaan atau unsur jenayah pada mayat mangsa.
“Kes ini telah diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR). Walau bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk menentukan punca sebenar kejadian itu, manakala bedah siasat telah dijadualkan pada 31 Julai untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan sehingga siasatan selesai.

