LOS ANGELES: Magis Mikel Merino sekali membantu Sepanyol apabila dia yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol kemenangan di lewat perlawanan buat kedua berturut-turut ketika Sepanyol mengalahkan Belgium 2-1 di Los Angeles pada Jumaat.
Ini membolehkan Sepanyol menempah penampilan separuh akhir Piala Dunia FIFA pertama mereka sejak 2010, sekali gus menempah perlawanan separuh akhir menentang Perancis di Dallas Selasa depan.
Merino juga masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan dalam kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Portugal dalam pusingan 16, manakala Red Devils menewaskan tuan rumah bersama Amerika Syarikat 4-1 untuk mara ke suku akhir.
Sepanyol membuka jaringan pada minit ke-30 apabila Fabian Ruiz merembat masuk bola muntah selepas Thibaut Courtois menepis percubaan pertama Dani Olmo daripada hantaran lintang rendah Pedro Porro susulan larian Lamine Yamal.
Red Devils menyamakan kedudukan pada minit ke-41 selepas Timothy Castagne melakukan hantaran lintang dari sebelah kanan dan Charles De Ketelaere mendahului Pau Cubarsi untuk menanduk melepasi Unai Simon, menamatkan rentetan enam perlawanan tanpa bolos La Roja berturut-turut di Piala Dunia FIFA.
Gol De Ketelaere juga menamatkan rekod Piala Dunia Simon iaitu 650 minit berturut-turut tanpa bolos.
Belgium mengalami kemunduran pada minit ke-71 apabila Courtois terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan selepas membuat penampilan Piala Dunia FIFA yang ke-21, kedua terbanyak di kalangan penjaga gol di belakang Manuel Neuer dari Jerman (23).
Merino menjaringkan gol penentu pada minit ke-88, hanya dua minit selepas masuk sebagai pemain gantian. Penjaga gol gantian Belgium, Senne Lammens, gagal menahan percubaan jarak jauh Pau Cubarsi, membolehkan pemain tengah Sepanyol itu menerkam bola yang terlepas dari jarak dekat.
La Roja berjaya bertahan untuk kemenangan 2-1 dan kembali ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak menjulang trofi di Afrika Selatan pada tahun 2010.
Kemenangan itu melanjutkan rentak tanpa kalah Sepanyol dalam masa biasa kepada 36 perlawanan, sejak kekalahan persahabatan 0-1 mereka kepada Colombia pada tahun 2024. ■ XINHUA

