Ekonomi

Transaksi harta tanah catat pertumbuhan 0.7 peratus pada suku ketiga tahun 2026

Abdul Razak Yusak

PUTRAJAYA: Prestasi pasaran harta tanah negara pada suku ketiga tahun 2026 berkembang 0.7 peratus, menokok kepada 108,990 transaksi berbanding suku ketiga tahun 2025 dengan nilai transaksi sebanyak RM60.31 bilion.

Pergerakan harga kekal stabil, manakala aktiviti pembinaan bagi subsektor kediaman, komersial dan industri terus aktif.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Datuk  Sr Abdul Razak Yusak dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan pasaran harta tanah merupakan tanda keyakinan industri terhadap inisiatif strategik kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI yang menyediakan asas untuk memperkukuh pasaran harta tanah dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Inisiatif kerajaan yang digariskan dalam Belanjawan 2026 antaranya meningkatkan jaminan kerajaan sehingga RM20 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) ke atas pembiayaan perumahan dan pengecualian penuh duti setem bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000 yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027, telah menggalakkan permintaan pasaran harta tanah, sekali gus memastikan rakyat mempunyai peluang memiliki rumah,” kata beliau sempena Pelancaran Siaran Pasaran Harta Suku Ketiga Tahun 2026 di Putrajaya, hari ini.

Intipati lain prestasi pasaran harta tanah suku ketiga tahun 2026 adalah:

● Bilangan transaksi subsektor kediaman kekal mendominasi pasaran harta tanah dengan menyumbang syer terbesar sebanyak 61 peratus dan diikuti oleh subsektor pertanian sebanyak 18.5 peratus. Prestasi tahun ke tahun menunjukkan subsektor komersial berkembang sebanyak 5.3 peratus, manakala tanah pembangunan sebanyak 5.2 peratus.

● Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) mencatat pertumbuhan positif 0.5 peratus, berada pada paras 235.4 mata dengan harga purata RM507,809 seunit.

● Segmen pelancaran baharu kediaman menunjukkan prestasi menggalakkan, meningkat kepada 19,642 unit kediaman baharu berbanding 11,533 unit pada tempoh yang sama tahun 2025 dengan prestasi jualan 7.1 peratus.

● Aktiviti pembinaan terus kukuh dengan merekodkan peningkatan dalam subsektor kediaman dan komersial bagi peringkat siap dibina (completion) dan penawaran baharu dirancang (new planned supply).

● Prestasi kediaman siap belum terjual (unsold completed) terus merekodkan peningkatan. Unit kediaman siap belum terjual merekodkan sebanyak 33,598 unit dengan nilai keseluruhan RM19.55 bilion. Sementara itu, segmen pangsapuri khidmat siap belum terjual pula merekodkan 23,568 unit bernilai RM20.13 bilion.

● Di segmen komersial, kadar penghunian bagi kompleks perdagangan stabil pada kadar 76.6 peratus, manakala kadar penghunian bagi pejabat binaan khas (swasta dan kerajaan) meningkat kepada 78.8 peratus pada suku ketiga tahun 2026. Pasaran Harta Tanah Dijangka Kekal Stabil Pasaran harta tanah dijangka mengekalkan prestasi yang stabil seiring dengan pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia.

Keberkesanan inisiatif Kerajaan MADANI menyaksikan transaksi rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah mendominasi subsektor kediaman dengan menguasai lebih 50 peratus daripada jumlah transaksi kediaman.

Prospek yang positif ini akan terus kukuh, disokong oleh pergerakan harga yang stabil, aktiviti pembinaan yang aktif dan pertumbuhan transaksi dalam subsektor terpilih. Walau bagaimanapun, prospek pasaran secara keseluruhan masih terdedah kepada kesan perubahan ekonomi luaran dan kekangan dari segi kemampuan pemilikan harta tanah.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dan sokongan pelaksanaan inisiatif strategik Kerajaan MADANI secara berterusan menjadi pemangkin momentum pertumbuhan pasaran harta tanah yang stabil.

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) akan terus memperkukuh pemantauan secara komprehensif dan berterusan terhadap dinamik penawaran dan permintaan pasaran harta tanah negara bagi memastikan pertumbuhan pasaran yang lebih seimbang dan mampan. Laporan Pasaran Harta dan semua penerbitan lain boleh dilayari melalui portal rasmi NAPIC di napic.jpph.gov.my.