PAPAR: Hasrat seorang wanita untuk menyelamatkan suaminya yang terjatuh ke dalam kolam kumbahan berakhir dengan tragedi apabila dia turut terjatuh dan meninggal dunia di Kampung Kawari di sini, semalam.
Menurut Harian Metro (HM), pasangan warga Indonesia berusia 50 dan 52 tahun itu ditemui mati dalam keadaan berpelukan di dalam kolam kumbahan di sebuah ladang ternakan babi, tempat mereka bekerja.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir, berkata pihak polis menerima laporan orang awam mengenai penemuan itu pada kira-kira jam 11.56 pagi.
Beliau berkata, anggota polis serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan mengeluarkan mayat mangsa.
“Siasatan awal mendapati mangsa lelaki dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam kolam kumbahan tersebut, manakala isterinya pula dipercayai cuba membantu sebelum turut terjatuh ke dalamnya,” katanya ketika dihubungi HM.
Heryan berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, dan kedua-dua mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Papar untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Pihak polis sedang meneruskan siasatan dan menasihatkan orang ramai yang bekerja berhampiran kolam kumbahan atau kawasan lain yang berpotensi berbahaya supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan.