Nasional

Anggota dibenar lepaskan tembakan jika ada keraguan, berdepan ancaman – Fadil Marsus

KUALA LUMPUR: Anggota polis yang berhadapan dengan ancaman dibenarkan melepaskan tembakan bagi melindungi keselamatan diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus  juga mengingatkan anggota yang menjalankan tugas meningkatkan tahap kesiapsiagaan, termasuk bersedia menggunakan senjata api.

Arahan itu dikeluarkanmenerusi satu rakaman suara yang ditujukan kepada seluruh pegawai dan anggota di bawah Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Berdasarkan rakaman berkenaan, Fadil menegaskan setiap anggota perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan tidak mengambil mudah sebarang situasi berisiko ketika menjalankan tugas.

Katanya, setiap anggota perlu memastikan latihan dan pengetahuan berkaitan prosedur keselamatan sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menghadapi pelbagai kemungkinan ketika bertugas.

“URB, detektif, MPV sesiapa sahaja di barisan hadapan  saya tidak mahu kejadian yang berlaku di Gombak kena anggota saya di bahagian hadapan pastikan seperti mana saya  cakap perlu bersedia.

“Keluarkan senjata api dan bersedia tembak. Ada keraguan, tembak. Ada kerisauan dan ancaman, tembak. Jangan tunggu tangan putus baru hendak meyesal,” katanya.
Kenyataan dikeluarkan dipercayai susulan kejadian di Desa Aman Puri, Gombak pada Rabu, di mana seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas ditetak seorang lelaki warga asing menggunakan parang.

Serangan itu menyebabkan pergelangan tangan kanan anggota berkenaan terputus, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap aspek keselamatan petugas barisan hadapan ketika menjalankan operasi.

Sehubungan itu, Fadil turut mengarahkan pegawai bertugas di Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) memastikan arahan berkenaan disampaikan kepada semua bahagian dan elemen operasi supaya langkah kesiapsiagaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.