KUALA LUMPUE: Istana Negara dalam hantaran yang dikongsi di akaun media sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menegaskan, semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat yang memperkenankan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah telah pun dipenuhi.
Sehubungan itu sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Kenyataan itu menyebut, perintah pengampunan yang diputuskan pada 18 September 2026 adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, selain tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.
“Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu yang turut dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara, telah memberikan nasihat yang sewajarnya kepada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Oleh itu, menurut Istana Negara, tidak sepatutnya timbul sebarang kekeliruan tafsiran mahupun ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda.
Kenyataan itu turut memperingatkan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, pelaksanaan kuasa tersebut wajar dihormati sepenuhnya selaras dengan kedudukan sistem Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong,” tegas Istana Negara.