KUALA LUMPUR: Selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) mengeluarkana kenyataan menangguhkan tahanan di rumah, Datuk Seri Najib Razak kini kembali ke Penjara Kajang kira-kira pukul 7.15 malam tadi.
Sebelum itu, bekas Perdana Menteri itu telah menjelaskan denda RM50 juta dengan bantuan UMNO dan dibawa keluar dari penjara untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur dan dijangka menghabis baki hukuman penjara di rumah di Langgak Duta.
Namun, AGC menangguhkan sementara perintah itu dengan beberapa alasan perundangan.
Selepas proses bayar denda dan dokumentasi selesai kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak yang membawa Najib dilihat memasuki kawasan Penjara Kajang dengan diiringi beberapa kenderaan pengiring.
Kenderaan sama sebelum ini membawa Najib keluar dari penjara berkenaan kira-kira pukul 2.37 petang tadi dengan kawalan beberapa kenderaan pengiring serta sebuah van Jabatan Penjara.
AGC berkata, status penahanan Najib dalam tempoh tersebut hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa berkaitan.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa terdapat dua interpretasi yang memerlukan penelitian lanjut.
Interpretasi pertama ialah pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.
Dalam keadaan itu, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara dan bukan bermaksud hukuman penjara berkenaan telah tamat.
Interpretasi kedua pula melihat pembayaran denda RM50 juta sebagai syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya sehingga keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap selesai.
Persoalan itu turut melibatkan kesan undang-undang ‘Order of Discharge on Payment of Fine’ bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pembayaran denda RM50 juta direkodkan.
Perintah itu mengarahkan Najib dilepaskan serta-merta, namun pada masa sama menyatakan baki hukuman perlu dijalani secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.