Ekonomi

Prasarana labur RM5 juta indahkan stesen LRT Masjid Jamek

KUALA LUMPUR:Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini melancarkan Fasa Ketiga Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek yang melibatkan pelaburan sebanyak RM5 juta, sebagai kesinambungan usaha memperindah dan meningkatkan daya tarikan stesen berkenaan, di samping memelihara keunikan seni bina serta nilai warisan kawasan sekitarnya.

Majlis pelancaran projek tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, dengan kehadiran Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud; Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dr. Prodyut Dutt; serta Pengarah Urusan Think City Datuk Hamdan Abdul Majeed di Stesen LRT Masjid Jamek.

Inisiatif yang dijalankan dengan kolaborasi bersama Think City ini mencerminkan komitmen Prasarana dalam meningkatkan keselesaan pengguna, sekali gus menyokong aspirasi Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL) untuk memperkukuh daya tarikan kawasan sekitar Masjid Jamek sebagai destinasi pelancongan dan pemangkin ekonomi kreatif di ibu negara.

Inisiatif berimpak tinggi ini merangkumi empat skop kerja utama, iaitu menaik taraf kawasan sekitar stesen di Jalan Benteng, mempertingkat pencahayaan di Jalan Tun Perak, melaksanakan penghijauan di platform stesen serta menambah baik sistem pandu arah bagi mewujudkan persekitaran yang lebih menarik, selesa dan mesra pengguna.

Projek yang dilaksanakan secara berfasa sejak tahun 2025 ini dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2027.

Apabila siap, Stesen LRT Masjid Jamek bakal tampil dengan persekitaran yang lebih moden, hijau dan mesra pengguna, dilengkapi ruang niaga yang lebih selesa, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai hab komuniti, pelancongan dan aktiviti komersial yang menghubungkan pengangkutan awam dengan destinasi warisan di pusat bandar Kuala Lumpur.

Prasarana komited untuk mentransformasi stesen transit daripada sekadar hab pengangkutan awam kepada pusat tumpuan komuniti, aktiviti komersial dan pelancongan yang lebih dinamik.

Usaha ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan keselesaan dan pengalaman pengguna, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Transformasi ini juga dijangka membuka lebih banyak peluang perniagaan menerusi penambahan ruang komersial, pengoptimuman potensi pengiklanan serta kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.

Pendekatan ini sekali gus dapat menjana sumber pendapatan baharu yang mampan kepada Prasarana, di samping mewujudkan kesan pengganda ekonomi yang memberi manfaat kepada komuniti, peniaga dan industri pelancongan tempatan.