JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, rombakan pentadbiran Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor (Exco) ialah sebahagian daripada proses kesinambungan dan penyegaran pentadbiran.
Bagaimanapun katanya, langkah itu sama sekali tidak memadamkan segala sumbangan yang dicurahkan barisan kepimpinan terdahulu.
Menurut beliau, perubahan kedudukan dalam barisan Exco juga ialah lumrah dalam usaha memacu negeri ke tahap yang lebih baik demi kemakmuran Bangsa Johor.
“Amanah untuk Johor tidak pernah terhenti pada sesuatu jawatan. Saya percaya pengalaman, kebijaksanaan dan semangat untuk berkhidmat akan terus menjadi kekuatan dalam usaha kita bersama-sama membawa Johor ke tahap yang lebih baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sehubungan dengan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada empat bekas Exco bagi penggal 2022-2026 atas segala pengorbanan, masa, tenaga dan buah fikiran yang dicurahkan sepanjang memikul amanah berkenaan.
Onn Hafiz berkata setiap pencapaian yang diraih oleh kerajaan negeri sepanjang tempoh tersebut turut terbina daripada sumbangan, komitmen dan kerja keras mereka.
“Segala jasa dan khidmat bakti yang telah diberikan kepada negeri serta Bangsa Johor akan sentiasa dikenang dan dihargai,” katanya.
Beliau, pada masa sama, menzahirkan rasa bangga atas semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan berkenaan dalam mendepani pelbagai cabaran serta memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

