Tiga beranak maut dilanggar lori Jabatan Imigresen

KUALA LUMPUR: Tiga sekeluarga maut dilanggar sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia dalam kemalangan di lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di ibu negara, awal pagi ini. Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu apabila lori Isuzu Black Maria milik Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tidak membawa muatan terbabit dalam kemalangan dengan…

KUALA LUMPUR: Tiga sekeluarga maut dilanggar sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia dalam kemalangan di lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di ibu negara, awal pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu apabila lori Isuzu Black Maria milik Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tidak membawa muatan terbabit dalam kemalangan dengan dua kereta dan empat pejalan kaki.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki Melayu berusia 43 tahun dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, lori berkenaan dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu beacon dan siren diaktifkan.

“Pada masa sama, sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki Melayu berusia 50 tahun sedang bergerak lurus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.

“Pemandu Proton Saga dipercayai tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.

“Akibat perlanggaran itu, lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kenderaan Inokom Matrix,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Mohd Zamzuri berkata, tiga pejalan kaki maut di tempat kejadian terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun yang merupakan bapa, serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 tahun dan 12 tahun.

“Isteri mangsa lelaki berkenaan yang juga ibu kepada dua mangsa perempuan, seorang wanita berusia 55 tahun, turut cedera dalam kejadian itu.

“Mangsa mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki dan dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Zamzuri berkata, ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis menahan pemandu lori Jabatan Imigresen berusia 43 tahun dan pemandu Proton Saga berusia 50 tahun bagi membantu siasatan.

“Ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol serta ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati keputusan negatif.

“Polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan saksi bebas serta membawa kenderaan terbabit untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sha Hashim Avatar

About the author


Popular Categories