Skim LINDUNG 24 Jam bukan beban, jaminan perlindungan – Ramanan

SEREMBAN: Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan bentuk perlindungan sosial dan bukan beban kepada pencarum berikutan mengenakan kadar caruman rendah. Memetik laporan BERNAMA, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata skim berkenaan memberi jaminan keselamatan kepada pekerja dan keluarga sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan,…

SEREMBAN: Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan bentuk perlindungan sosial dan bukan beban kepada pencarum berikutan mengenakan kadar caruman rendah.

Memetik laporan BERNAMA, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata skim berkenaan memberi jaminan keselamatan kepada pekerja dan keluarga sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan, hilang upaya atau kehilangan sumber pendapatan.

Beliau berkata persepsi bahawa skim berkenaan membebankan pencarum perlu diubah kerana manfaat yang ditawarkan jauh lebih besar berbanding kadar caruman sebanyak 0.75 peratus.

“Kalau kita lihat skim ini sebagai satu beban, kita takkan rasa sehingga padah berlaku…berapa banyak kes dalam seminggu akibat kemalangan? Jatuh motosikal, motosikal rosak, kaki patah, tangan patah, tak boleh jaga anak-anak, tak boleh jaga ibu bapa dan sebagainya.

“Adakah 0.75 peratus itu terlalu tinggi jika ia dapat memastikan keluarga terus terbela sekiranya berlaku perkara tidak diingini? Caruman itu adalah untuk melindungi diri sendiri dan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival LINDUNG Kerjaya MADANI di Seremban hari ini.

Justeru, beliau berharap lebih ramai pekerja menyertai skim berkenaan bagi memastikan mereka mempunyai perlindungan sewajarnya jika ditimpa musibah.

Beliau turut meminta semua pihak supaya memberi sedikit masa untuk memahami mekanisme skim berkenaan dengan meneliti butiran disediakan, dan melihat sendiri manfaat, bantuan kewangan serta faedah pemulihan yang ditawarkan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan.

Ramanan sebelum ini dilaporkan berkata lebih sembilan juta pencarum menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) secara automatik dilindungi sepenuhnya daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja, berkuat kuasa 1 Jun lepas.

Beliau berkata buat permulaan, kadar caruman bagi LINDUNG 24 Jam adalah 0.75 peratus daripada gaji bulanan, justeru, majikan bertanggungjawab untuk menguruskan potongan gaji pekerja dan melaksanakan pembayaran caruman skim itu kepada PERKESO setiap bulan.

Sha Hashim Avatar

About the author


Popular Categories