KUALA LUMPUR: Sebanyak RM50,400 Dana Wakalah UPNM Holdings Sdn. Bhd. disalurkan kepada Pusat Pengurusan Wakaf dan Zakat (PPWZ), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi menyokong pembangunan dan kesejahteraan 21 pelajar asnaf universiti berkenaan.
UPNM dalam satu kenyataan berkata, penyaluran dana tersebut mencerminkan komitmen UPNM Holdings Sdn. Bhd. dalam memperluas sokongan kepada golongan asnaf, selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan dan pembangunan pelajar secara berterusan.
Prof. Dr. Khairol Amali Ahmad, yang hadir mewakili Naib Canselor UPNM, merasmikan program berkenaan pada majlis yang berlangsung di Pusat Marin UPNM.
Dalam amanatnya, Dr. Khairol Amali berkata, sumbangan tersebut merupakan satu pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan yang manfaatnya bukan sahaja dirasai pelajar, malah turut memberi nilai kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Sumbangan yang disalurkan ini adalah satu pelaburan terhadap pembangunan modal insan. Pendidikan dan pembangunan diri merupakan aset paling berharga yang akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada individu, malah kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Menurut beliau, sokongan terhadap pelajar asnaf perlu dilihat sebagai usaha berterusan bagi memastikan mereka mendapat peluang yang sewajarnya untuk mengembangkan potensi diri, meningkatkan keterampilan serta mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan pembangunan sahsiah.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi UPNM Holdings Sdn. Bhd., Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, manakala Dr. Khairol Amali yang hadir mewakili Naib Canselor UPNM, menyampaikan amanat sebelum merasmikan program berkenaan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan mock cheque Dana Wakalah berjumlah RM50,400 kepada PPWZ sebagai simbolik penyaluran dana bagi menyokong usaha pembangunan pelajar asnaf.
Sumbangan itu merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial dan keprihatinan UPNM Holdings Sdn. Bhd. dalam membantu meningkatkan kesejahteraan serta pembangunan pelajar, khususnya dalam kalangan mereka yang memerlukan.
Melalui penyaluran Dana Wakalah berkenaan, UPNM Holdings Sdn. Bhd. berharap ia dapat dimanfaatkan bagi menyokong keperluan dan pembangunan pelajar, di samping membantu melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, berketerampilan dan mempunyai nilai tambah dalam aspek pembangunan diri, kecemerlangan akademik serta sahsiah.
Inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen UPNM Holdings Sdn. Bhd. dalam memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik universiti melalui sokongan terhadap pembangunan modal insan dan kesejahteraan warga pelajar UPNM.
Pendekatan itu tidak terhad kepada bantuan kebajikan semata-mata, sebaliknya turut memberi ruang kepada pembangunan potensi pelajar secara lebih menyeluruh, termasuk membina keyakinan diri, memperkukuh keterampilan serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran akademik, kerjaya dan kehidupan.
Kerjasama antara UPNM Holdings Sdn. Bhd. dan PPWZ itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berimpak dalam memperkasa mahasiswa, khususnya golongan asnaf, selaras dengan usaha universiti melahirkan graduan yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing dan mempunyai jati diri yang kukuh.

