KANGAR: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap institusi diraja Perlis menerusi media sosial berkaitan penganugerahan pingat kebesaran negeri.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, lelaki berumur 37 tahun itu ditahan petang semalam susulan enam laporan polis yang diterima berhubung isu terbabit.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM50,000 jika disabitkan kesalahan.
“Pihak polis memandang serius perkara ini kerana melibatkan sensitiviti institusi diraja negeri Perlis dan boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu keharmonian masyarakat.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang komen, spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Muhammad berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batasan, melanggar mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada serta cuba mencetuskan provokasi atau menggugat keamanan negara.

