Pengunjung Hari Kebangsaan diminta pelihara kebersihan Dataran Putrajaya

PUTRAJAYA: Orang ramai yang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini diseru mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan membuang sampah di tempat yang disediakan bagi memastikan kawasan sambutan kekal bersih. Memetik laporan BERNAMA, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pihaknya tidak mahu insiden lambakan sampah yang berlaku di Dataran…

PUTRAJAYA: Orang ramai yang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini diseru mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan membuang sampah di tempat yang disediakan bagi memastikan kawasan sambutan kekal bersih.

Memetik laporan BERNAMA, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pihaknya tidak mahu insiden lambakan sampah yang berlaku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini berulang pada sambutan Hari Kebangsaan nanti.

“Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama bukan semata-mata tanggungjawab Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk mengutip sampah selepas sesuatu acara.

“Bayangkan kita datang meraikan sambutan Hari Kebangsaan, tetapi apabila pulang kawasan dipenuhi sampah. Saya rasa itu tidak manis dan saya menyeru semua yang hadir supaya membuang sampah di tempat yang disediakan,” katanya.

Hannah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI KITA (PMK) bersama komuniti Wilayah Persekutuan Putrajaya, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Presiden PPj, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.

Pada majlis itu, Hannah turut menyampaikan cek cura sumbangan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumlah RM5,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terpilih.

Hannah berkata, pihaknya kini mengutamakan usaha meningkatkan kesedaran awam dan percaya orang ramai telah mengambil iktibar daripada insiden lambakan sampah yang berlaku di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Beliau berkata, PPj juga akan menambah kemudahan tong sampah di lokasi yang sesuai serta meningkatkan kekerapan kutipan sampah bagi memastikan kawasan sambutan sentiasa bersih dan selesa.

“Saya juga akan pastikan PPj membuat peringatan atau pengumuman kepada semua yang hadir (untuk kutip sampah). Ini adalah tanggungjawab bersama bukan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan sahaja untuk mengutip ampah selepas acara,” katanya.

Pada 20 Julai lepas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan pihaknya menjalankan kerja-kerja pembersihan di Dataran Merdeka yang dipenuhi sampah sarap selepas ribuan penyokong berhimpun menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026.

DBKL memaklumkan, petugas pembersihan akan menjalankan kerja mengutip sampah di kawasan berkenaan, namun, menegaskan, kebersihan ibu negara tidak seharusnya bergantung kepada usaha petugas selepas orang ramai meninggalkan lokasi.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos dalam skala sederhana tetapi meriah.

Tema `Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM2026) tahun ini, manakala logo Malaysia MADANI dikekalkan sebagai logo rasmi sambutan sehingga tahun depan.

Sha Hashim Avatar

About the author


Popular Categories