KOTA KINABALU: Seorang pakar psikologi kanak-kanak hari ini memaklumkan Mahkamah Koroner di sini bahawa terdapat unsur buli khususnya dalam bentuk lisan dan siber terhadap Zara Qairina Mahathir berdasarkan hasil penilaiannya ketika menyediakan laporan profil autopsi psikologi remaja itu.
BERNAMA melaporkan, Dr Noor Aishah Rosli, 51, yang berpengalaman kira-kira 18 tahun, berkata dapatan itu diperoleh hasil temu bual dengan rakan-rakan Zara Qairina di sekolah menengah dan beberapa dokumen bagi melengkapkan laporan berkenaan.
“Saya mendapati wujud unsur buli verbal, saya tak nampak buli fizikal… buli melabelkan dia, ignore dia, ada juga ditulis di dinding, buli siber pun berlaku, cuma saya tidak boleh akses semua sebab telah dipadam.
“Dikatakan Zara pernah sebut dengan ibunya tentang kakak-kakak yang jahat, jumpa di pusat beli-belah mengelak, di sekolah ada jamuan Hari Raya mengelak, tidak selesa keadaan itu,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan semasa prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu di sini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara Qairina, mengenai laporan profil autopsi psikologi disediakannya yang turut mengambil kira elemen unsur buli yang berlaku terhadap remaja itu.
Dr Noor Aishah berkata Zara Qairina mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan di sekolah rendah dan remaja itu digambarkan sebagai seorang yang ceria serta suka bersedekah namun isu berkaitan buli timbul ketika sekolah menengah.
Mengenai catatan dairi Zara Qairina, beliau berkata penggunaan perkataan kesat terhadap ibu pelajar itu tidak boleh dijadikan penentu kepada hubungan mereka kerana diari ialah medium luahan perasaan bersifat sementara ketika berdepan emosi tertentu.

