Jabatan Veterinar nafi penglibatan dalam sebarang dokumen Pesanan Kerajaan

PUTRAJAYA:  Jabatan Perkhidmatan Veterinar  (DVS) memandang serius aduan berhubung percubaan penipuan yang menyalahgunakan nama dan jawatan pegawai DVS serta dokumen Pesanan Kerajaan atau Local Order (LO) palsu bagi memperdaya syarikat pembekal menyediakan bekalan dan perkhidmatan kononnya untuk program jabatan. Sehubungan dengan itu, jabatan itu menafikan penglibatan pihak jabatan dalam sebarang dokumen Pesanan Kerajaan fizikal atau…

veterinar

PUTRAJAYA:  Jabatan Perkhidmatan Veterinar  (DVS) memandang serius aduan berhubung percubaan penipuan yang menyalahgunakan nama dan jawatan pegawai DVS serta dokumen Pesanan Kerajaan atau Local Order (LO) palsu bagi memperdaya syarikat pembekal menyediakan bekalan dan perkhidmatan kononnya untuk program jabatan.

Sehubungan dengan itu, jabatan itu menafikan penglibatan pihak jabatan dalam sebarang dokumen Pesanan Kerajaan fizikal atau arahan pembekalan mencurigakan yang dikeluarkan di luar sistem rasmi.

Tindakan tidak bertanggungjawab ini merupakan satu jenayah berat yang jelas berniat jahat bagi mencemarkan imej dan kewibawaan jabatan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Semua pembekal dinasihatkan untuk memastikan semua urusan perolehan rasmi berkaitan dengan DVS dilaksanakan menerusi Sistem e-Perolehan dan sentiasa berwaspada dengan tawaran yang dibuat di luar sistem tersebut.

Pembekal juga diminta berwaspada terhadap arahan yang diterima melalui panggilan telefon, WhatsApp, e-mel tidak rasmi atau dokumen yang tidak dapat disahkan.

Sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung dokumen perolehan yang diterima, pihak pembekal boleh berhubung secara terus dengan Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar, Putrajaya di talian 03-8870 2000 atau melalui e-mel pro@dvs.gov.my.

DVS turut mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk menyebarluaskan kenyataan ini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, melindungi kepentingan pembekal serta membendung penyalahgunaan nama dan identiti jabatan.

 

Sha Hashim Avatar

About the author


Popular Categories