KUANTAN: Empat individu terbunuh, manakala seorang budak lelaki cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki dihempap pokok dalam satu kejadian di Jalan Lama Kuala Lumpur menuju ke Janda Baik, Bentong petang ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Beliau berkata semua mangsa berada di dalam kenderaan Ford Raptor ketika kejadian berlaku.
“Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, seorang wanita berusia 36 tahun yang merupakan penumpang hadapan dengan seorang budak lelaki berusia lima tahun di atas ribanya, dan seorang lagi lelaki berusia 40 tahun yang duduk di tempat duduk belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata seorang lagi budak lelaki berusia lima tahun yang berada di tempat duduk belakang cedera dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.
“Kedua-dua kanak-kanak itu dipercayai kembar berdasarkan identiti yang ditemui,” katanya.
Zaiham berkata semua mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat.
Beliau berkata siasatan awal mendapati empat daripada lima individu di dalam kenderaan itu adalah ahli keluarga, manakala hubungan pemandu dengan mereka masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Janda Baik dan Pasukan Operasi Pengekstrakan (PKO) BBP Bentong mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan menggunakan peralatan menyelamat khas.

