KULIM: Seramai 101 pelajar lelaki terselamat selepas asrama yang mereka diami di Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah, Jalan Pegawai, di sini musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Abdul Mois Ahmad Mansur berkata, bomba menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 2.47 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari BBP Kulim dan dibantu pasukan dari BBP Kulim Hi-Tech tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Menurut beliau, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas dan Kulim.
“Dua pasukan iaitu dari BBP Kulim dan Kulim Hi-Tech dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan penyelamatan dan memadam kebakaran, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Mois, ketika tiba di lokasi didapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan asrama lelaki dua tingkat kelas dan memusnahkan kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan struktur tingkat atas bangunan.
Kebakaran itu katanya, tidak membabitkan mangsa berikutan semua pelajar lelaki di asrama terbabit berjaya menyelamatkan diri.
“Berikutan itu, kerja-kerja pemadamam dilakukan menggunakan sumber air yang diperoleh dari tangki PBS.
“Operasi kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.09 pagi tadi dan kerja-kerja overhaul dilakukan bagi memastikan tiada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang,” katanya.
Abdul Mois berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

