Toyota Motor Corp. berkata pada hari Isnin bahawa jualan kenderaan globalnya pada bulan Mei menurun 7.2 peratus kepada 834,279 unit berbanding tahun sebelumnya, merosot untuk bulan keempat berturut-turut.
Jualan luar negara Toyota jatuh 9.6 peratus kepada 715,898 unit, dengan jualan di Amerika Syarikat menurun 0.6 peratus kepada 238,800 unit, hampir tidak berubah berbanding tahun sebelumnya, kata syarikat itu.
Jualan di Timur Tengah menjunam 38.6 peratus kepada 29,568 kereta, manakala di China merosot 31.7 peratus kepada 102,299 kenderaan, menurut pengeluar kereta terbesar di dunia mengikut jumlah.
Walau bagaimanapun, jualan di Jepun meningkat 11.1 peratus kepada 118,381 unit, disokong oleh permintaan kukuh untuk model baharu seperti RAV4 dan bZ4X.
Sementara itu, pengeluaran global jatuh 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 765,470 kereta, mencatatkan penurunan pertama dalam tempoh tiga bulan, kata Toyota.
Pengeluaran luar negara Toyota jatuh 9.4 peratus kepada 514,882 kenderaan, penurunan tahun ke tahun pertama dalam tempoh tiga bulan, manakala pengeluaran domestik meningkat 3.7 peratus kepada 250,588 unit, menandakan peningkatan pertama dalam tempoh tujuh bulan, dibantu oleh pelancaran model baharu. ■ XINHUA

