KUALA LUMPUR: Kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Laos menyuntik keyakinan dan semangat kepada pasukan untuk menghadapi cabaran lebih getir menentang juara tujuh kali, Thailand pada perlawanan Kumpulan B Piala ASEAN 2026, Sabtu ini.
Memetik laporan BERNAMA, Ketua jurulatih sementara, Tan Cheng Hoe berkata, tiga mata yang dikutip pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam ini sangat penting bagi membantu skuad Harimau Malaya mengekalkan momentum, di samping membina keserasian dalam kalangan pemain sebagai persiapan menghadapi pertembungan di Stadium Rajamangala, Bangkok itu.
“Sebagai jurulatih, saya sangat gembira dengan keputusan ini. Kami terus mengekalkan momentum dan mengembalikan keserasian dalam pasukan.
“Sudah tentu kami masih mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan prestasi pasukan. Pada masa sama, kami mempunyai masa dua hari lagi untuk membuat persiapan bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang Thailand,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Cheng Hoe turut mengakui Malaysia akan berdepan cabaran yang berbeza apabila menentang Thailand, sebuah pasukan yang dibarisi pemain berkualiti serta memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
Cheng Hoe ketika mengulas mengenai perlawanan menentang Laos semalam berkata, Malaysia berdepan kesukaran pada separuh masa pertama apabila lawan bertahan dengan baik dan berjaya menghalang pasukan tuan rumah daripada memperoleh jaringan awal.

