Pusat Perubatan Sunway, Klinik Kesihatan Taman Medan bekerjasama sokong NHSI

BANDAR SUNWAY: Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, menjalin kerjasama dengan Klinik Kesihatan Taman Medan bagi menyokong Agenda Nasional Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI). Kerjasama ini sekali gus memperkukuh komitmen bersama dalam meningkatkan kecemerlangan penjagaan kesihatan serta kesejahteraan komuniti. Program saringan kesihatan ini telah memberi manfaat…

sunway

BANDAR SUNWAY: Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, menjalin kerjasama dengan Klinik Kesihatan Taman Medan bagi menyokong Agenda Nasional Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI). Kerjasama ini sekali gus memperkukuh komitmen bersama dalam meningkatkan kecemerlangan penjagaan kesihatan serta kesejahteraan komuniti.

Program saringan kesihatan ini telah memberi manfaat kepada lebih daripada 900 kakitangan SMC sepanjang tiga hari ia berlangsung, bagi membendung penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi. Saringan yang dijalankan merangkumi pemeriksaan kesihatan penting termasuk paras gula dalam darah, tekanan darah, indeks jisim badan (BMI) dan paras kolesterol. Selain itu, kakitangan wanita turut menjalani saringan payudara serta saringan HPV bagi pengesanan awal kanser payudara dan kanser serviks. 

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mengenai NCD, lebih setengah juta atau 2.5 peratus rakyat dewasa di Malaysia menghidap empat NCD: diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan obesiti. Tinjauan tersebut turut menunjukkan bahawa dua daripada lima orang dewasa berumur 18 tahun ke atas tidak menjalani sebarang saringan kesihatan bagi NCD dalam tempoh 12 bulan.

Bagi saringan kanser pula, 46 peratus wanita berumur 18 tahun ke atas tidak melakukan pemeriksaan sendiri payudara dalam tempoh 12 bulan, manakala 65 peratus wanita berusia 20 tahun dan ke atas juga tidak menjalani ujian pap smear dalam tempoh tiga tahun. 

Pengesanan awal NCD adalah kritikal bagi mengurangkan risiko komplikasi serius seperti penyakit buah pinggang dan penyakit jantung – keadaan yang lazimnya berkembang tanpa gejala sebelum mengancam nyawa.

Khususnya, obesiti dikenal pasti sebagai penyumbang utama penyakit kardiovaskular serta gangguan metabolik. Sehubungan itu, initiatif ini memberi tumpuan kepada pengurusan faktor risiko yang berkaitan dengan penyakit berkenaan, menjadikan objektifnya signifikan dari sudut intervensi awal dan perubatan. 

Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Erica Lam berkata, “Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan oleh Kementerian ini menekankan kepentingan pengurusan kesihatan secara proaktif serta intervensi perubatan yang tepat pada masanya.”

“Initiatif SMC bersama Klinik Kesihatan Taman Medan menunjukkan contoh kerjasama awam-swasta yang berjaya, sejajar dengan visi Kementerian untuk menggalakkan tenaga kerja yang lebih sihat dan produktif,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Klinik Kesihatan Taman Medan dan Pakar Perubatan Keluarga, Dr Erleena Nur binti Hassan, berkata, “Pengesanan awal adalah asas utama dalam mencegah komplikasi-komplikasi NCD. 

Kolaborasi ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk menjadikan penjagaan kesihatan pencegahan lebih mudah diakses dan memperkasakan komuniti agar lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka,” katanya. 

NHSI merupakan salah satu inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat yang memberi tumpuan kepada pengesanan, pencegahan dan pengurusan penyakit NCD melalui intervensi awal. 

Keputusan dan ringkasan saringan kesihatan akan direkodkan dan dipaparkan melalui aplikasi MySejahtera.

Sebagai hospital utama di bawah Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway (SHG), SMC ialah hospital yang menerima pelbagai pengiktirafan di Malaysia, di dukung oleh lebih daripada 300 pakar perubatan tetap serta menawarkan rawatan menyeluruh merangkumi lebih 80 bidang kepakaran dan 28 Pusat Kecemerlangan. 

Dengan siapnya blok keenam, Menara F (Pavilion Kanak-Kanak), SMC akan mempunyai kapasiti melebihi 1,000 katil, disokong oleh pasukan pelbagai disiplin yang komited dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan diperibadikan. 

SMC turut tersenarai dalam kelompok 250 hospital terbaik dunia selama tiga tahun berturut-turut sejak penarafan Hospital Terbaik Dunia oleh Newsweek pada tahun 2024, selain tersenarai buat julung kalinya dalam kelompok 350 hospital teratas dunia dalam ranking Hospital Pintar Terbaik Dunia oleh Newsweek 2026.

Sha Hashim Avatar

About the author


Popular Categories