KUALA LUMPUR: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar 4.7 peratus untuk tahun ini.
Unjuran itu dibuat berdasarkan negara ini menerima manfaat daripada aktiviti pusat data serta peningkatan dalam kitaran teknologi global.
Tabung itu dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan di pasaran pesat membangun dan ekonomi membangun diunjurkan menyederhana kepada 3.8 peratus pada 2026 sebelum pulih kepada 4.5 peratus pada 2027.
IMF berkata, semakan yang dilaksanakan tidak seragam, mencerminkan perbezaan dari sudut kebergantungan kepada komoditi, pendedahan geografi, kiriman wang dan hasil pelancongan.
Selain itu kata IMF, mereka turut diambil kira kepekaan terhadap keadaan kewangan serta kedudukan dalam rantaian nilai teknologi global.
Kenyataan itu terdapat dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) edisi Julai 2026: Ekonomi Global di Persimpangan Arus Perang dan Teknologi.
IMF turut meramalkan pertumbuhan global diunjurkan pada kadar 3.0 peratus pada 2026 dan 3.4 peratus pada 2027, menurun daripada purata 3.5 peratus yang dicatatkan pada 2024 dan 2025 selain secara amnya tidak berubah secara kumulatif berbanding unjuran dalam laporan WEO edisi April 2026.
Katanya, unjuran itu mencerminkan kesan perang di Asia Barat yang sebahagiannya diimbangi oleh momentum pertumbuhan dipacu permintaan yang semakin pesat dalam kitaran teknologi global, hasil kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan penggunaannya,” jelasnya.
Impak berkenaan juga berbeza-beza mengikut tahap pendedahan sesebuah negara terhadap peperangan serta kedudukannya dalam rantaian nilai teknologi.
“Pengeksport tenaga di luar zon konflik mendapat manfaat daripada terma perdagangan yang menguntungkan manakala ekonomi yang terlibat dalam pemulihan dipacu teknologi mencatatkan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh walaupun merupakan pengimport tenaga.
“Aktiviti ekonomi menjadi lebih lemah bagi negara pengimport tenaga yang mempunyai penyertaan terhad dalam rantaian nilai teknologi iaitu kumpulan yang merangkumi negara berpendapatan rendah,” demikian menurut IMF.

