KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sudah membuat keputusan untuk menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway.
Ia susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu yang diperuntukkan bagi kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri yang membuat keputusan itu turut meneliti perkembangan terkini berhubung tindakan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu berkenaan.
“Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Kementerian Pertahanan menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Keputusan itu dibuat susulan pembatalan lesen eksport sistem Naval Strike Missile (NSM) yang sebelum ini dirancang untuk dilengkapkan pada kapal LCS negara.
Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan tindakan Norway itu tidak akan menjejaskan jadual penyerahan kapal tempur pesisir yang sedang dibangunkan untuk TLDM.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jadual penyerahan kapal berkenaan kekal seperti dirancang dan dijamin oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS).
Menurut jawapan bertulis beliau di Dewan Rakyat bertarikh 7 Julai, projek LCS masih diteruskan dengan kapal berkenaan memiliki pelbagai keupayaan tempur termasuk peperangan antikapal selam, peperangan antiudara dan peperangan elektronik.

