KUALA LUMPUR: Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 Julai hingga 15 Julai 2026 dikekalkan, di kala harga pasaran petroleum antarabangsa mula menyederhana daripada paras puncak konflik.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, harga minyak mentah di pasaran global terus menyederhana pada minggu terdahulu. Perkembangan ini didorong oleh pengurangan premium risiko geopolitik, pemulihan aliran bekalan dan peningkatan persaingan harga dalam kalangan pengeluar utama.
Namun begitu, perkembangan terkini di Asia Barat termasuk serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran semalam menunjukkan risiko gangguan terhadap harga dan bekalan masih kekal selagi penyelesaian konflik tidak dimuktamadkan.
Dalam jangka sederhana, jangkaan lebihan bekalan global susulan pemulihan pengeluaran dan penyederhanaan permintaan dijangka mengehadkan kenaikan harga.
Namun, sebarang gangguan baharu di laluan perdagangan utama boleh menyebabkan turun naik harga yang ketara. Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.

