MANILA: Reformasi Parlimen Malaysia memindahkan kuasa pentadbiran daripada Perdana Menteri dan kerajaan kepada Parlimen serta Yang di-Pertua Dewan, sekali gus memperkukuh kebebasan badan perundangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan Akta Perkhidmatan Parlimen sebagai satu reformasi besar yang mencerminkan kesediaan pihak eksekutif untuk melepaskan kuasa ke atas pentadbiran Parlimen.
“Akta Perkhidmatan Parlimen ini secara tepatnya bermaksud kuasa yang sebelum ini terletak pada Perdana Menteri dan kerajaan, kini diserahkan kepada Dewan,” katanya pada majlis makan malam sempena lawatan kerja beliau ke Filipina bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di sini, semalam.
Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.
Anwar menyatakan bahawa kepentingan reformasi ini tidak sentiasa dihargai sepenuhnya, memandangkan ramai pemimpin enggan melepaskan kuasa sedemikian.
Beliau menambah bahawa reformasi seumpama itu telah diperdebatkan selama 30 hingga 40 tahun, sambil menegaskan bahawa mereka yang memegang jawatan tinggi mesti sentiasa terbuka untuk disoal.
Majlis makan malam yang dihoskan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Manila itu turut diserikan dengan persembahan oleh kanak-kanak Malaysia.