JOHOR BAHRU: Dua orang maut manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 52.5 Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), menghala ke Desaru, awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Mohd Hazmi Zulkafli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.49 pagi, dan sebuah jentera bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.06 pagi.
Beliau berkata, sebaik tiba, anggota bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah Proton X70, sebuah Proton Persona, dan sebuah Toyota Unser, dengan lima individu terlibat.
Dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 58 tahun yang menaiki Proton X70 dan seorang wanita berusia 26 tahun yang berada di dalam Proton Persona.
“Dua lagi individu yang menaiki Proton X70, masing-masing berusia 51 dan 47 tahun, mengalami kecederaan, manakala seorang lelaki di dalam Toyota Unser tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Hazmi berkata, dua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan masing-masing telah dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat hidraulik khas. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan, dan mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi tersebut, yang melibatkan lapan anggota dan sebuah jentera bomba (FRT), tamat pada pukul 3.38 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, yang mengesahkan kejadian itu, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Persona yang dipandu oleh Nurul Syifa’ Mohd Kasimi, 26, dilaporkan hilang kawalan, terbabas ke laluan bertentangan, lalu bertembung dengan sebuah Proton X70 dan sebuah Toyota Unser yang sedang bergerak dari arah bertentangan.
Beliau berkata, perlanggaran itu mengakibatkan kematian pemandu Proton X70, Sarjan Jorari Jusoh, 58, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, serta pemandu Proton Persona. Kedua-duanya mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Sementara itu, dua penumpang di dalam kenderaan Proton X70, yang terdiri daripada isteri pegawai polis tersebut dan rakannya, mengalami kecederaan, manakala pemandu Toyota Unser berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yusof berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati, mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas, serta mengutamakan keselamatan pada setiap masa semasa memandu.