GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang semasa melakukan aktiviti luncur layar di perairan Tanjung Bungah di sini semalam, ditemukan meninggal dunia pagi ini.
Penolong Pengarah (Bahagian Operasi dan Penyelamat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata mayat Dr Khaw Chun Sein, 74, ditemukan terdampar di kawasan berbatu berhampiran Straits Quay Retail Marina pada pukul 9.56 pagi.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian, selepas identitinya disahkan oleh ahli keluarga. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua bermula pada pukul 9 pagi, meliputi kawasan seluas 94.76 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada lima sektor pencarian di laut dan satu sektor pencarian udara di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan berada.
Semalam, pihak jabatan menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.42 malam daripada orang awam yang melaporkan seorang lelaki hilang semasa melakukan aktiviti luncur layar di perairan berhampiran Chinese Swimming Club di Tanjung Bungah.